Saturday, May 18, 2013

David Beckham umum persaraan

Pemain bola sepak terkenal, David Beckham mengikut jejak langkah bekas pengurusnya di kelab Machester United, Sir Alex Ferguson dengan mengumumkan berita persaraannya semalam.

Selepas 21 tahun berkecimpung dalam dunia bola sepak, Beckham memberitahu dalam satu temubual eksklusif bersama Sky Sports News, dia merasakan sudah tiba masa untuk dia pergi.

david beckham bersara
 "Selama ini saya seringkali melihat pemain bersara. Apabila anda bertanya, mereka berkata, 'anda akan tahu bila anda sudah bersedia'. Saya rasa saya tahu bila saya dah bersedia.

"Ianya sangat sukar kerana saya masih merasakan saya mampu bermain di peringkat yang lebih tinggi. Tapi saya sentiasa berkata saya mahu lebih daripada itu," ujarnya.

Beckham, 38, turut mengakui adakalanya sukar apabila kehidupannya sebagai selebriti seringkali membuatkan karier bola sepaknya tenggelam.

"Kadangkala orang melihat perkara lain yang berlaku sepanjang karier saya, sehingga ada yang menenggelamkan apa yang saya lakukan di padang.

"Walaupun saya sering berkata ianya tidak mengapa, tetapi pasti ia memberi kesan," tambahnya lagi.

Beckham yang pernah bermain dengan kelab-kelab terkemuka seperti Manchester United, Real Madrid, AC Milan dan Los Angeles Galaxy telah menolak tawaran tambahan tempoh setahun daripada kelabnya sekarang, Paris Saint-Germain.

Walaupun bakal bersara akhir musim ini, suami kepada Victoria Beckham ini dikatakan akan terus aktif sebagai jurucakap produk untuk jenama seperti sebelum ini iaitu Diet Pepsi, Samsung dan Marks & Spencer.

Malah bekas ketua pasukan England ini juga akan turut memberi sokongan kepada karier isterinya itu yang mempunyai koleksi minyak wangi dan rangkaian fesyen sendiri.

Pasangan ini telah berkahwin sejak tahun 1999 dan mempunyai empat orang anak iaitu Brooklyn, 14, Romeo, 10, Cruz, 8, dan Harper, 21 bulan.


Selain karier sebagai pemain bola sepak, David Beckham turut bergerak aktif sebagai model dan jurucakap produk.

No comments:

Post a Comment